PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah hingga pukul 12 tengah hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat ialah di Langkawi, Kedah dan Klang, Selangor.
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Barat Daya dan Timur Laut, Pulau Pinang,” katanya.
Di Sarawak, cuaca buruk dijangka melanda Betong (Saratok dan Kabong), Sarikei (Sarikei), Mukah, Bintulu (Tatau dan Bintulu) dan Miri (Subis, Miri dan Marudi).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE













