PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) menawarkan kestabilan politik, pentadbiran yang baik serta pembangunan ekonomi yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, rakyat Johor berhak menilai dan membuat pilihan berdasarkan rekod, kemampuan serta tawaran yang dibawa oleh parti-parti yang bertanding.
Menurut beliau, PRN Johor perlu menjadi medan persaingan idea, dasar dan tawaran terbaik untuk rakyat, bukannya pertembungan bersifat peribadi.
“PH menawarkan kestabilan politik, pentadbiran yang baik dan pembangunan ekonomi yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat Johor.
“Kita mahu Johor terus maju, pelaburan terus masuk, peluang pekerjaan terus bertambah dan kehidupan rakyat terus terbela,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mohamad berkata, amanah yang diberikan kepada kesemua 56 calon PH bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya tanggungjawab besar untuk membawa suara rakyat dan berkhidmat dengan penuh integriti.
Beliau yakin gabungan kesatuan, kerja keras serta sokongan rakyat mampu membawa Johor ke arah yang lebih baik sekali gus menjamin masa depan negeri itu terus gemilang. – KOSMO! ONLINE














