fbpx
Koppiku melancarkan Cendol Series, sekali gus membawa hidangan tradisional berkenaan ke dalam format moden yang lebih mudah dinikmati.

Koppiku bawa cendol ke format moden, penjual asli tak dilupa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Cendol sememangnya antara pencuci mulut paling lazim dengan rakyat Malaysia, dinikmati merentasi kaum dan generasi di gerai tepi jalan, pasar malam, kedai kopi serta bazar Ramadan.

Namun, di sebalik popularitinya, bilangan penjual cendol tradisional dilihat semakin berkurangan akibat faktor usia, ketiadaan pewaris serta peningkatan kos bahan mentah seperti santan dan gula melaka.

Menyedari keadaan itu, rangkaian minuman tempatan Koppiku melancarkan Cendol Series, sekali gus membawa hidangan tradisional berkenaan ke dalam format moden yang lebih mudah dinikmati, selain memulakan usaha meraikan serta menyokong penjual cendol asli di seluruh negara.

Cendol Series yang mula diperkenalkan di 55 cawangan Koppiku menawarkan tiga pilihan iaitu Cendol (RM5.90), Cendol Durian (RM10.90) dan Cendol Latte (RM9.90).

Ketiga-tiga minuman itu dihasilkan menggunakan Kara Barista Coconut Milk bersama gula melaka, jagung dan cendol bagi mengekalkan rasa lemak santan yang menjadi identiti cendol klasik. Varian Cendol Durian menggunakan puri durian D24, manakala Cendol Latte menggabungkan elemen cendol dengan kopi istimewa Koppiku.

Dalam pada itu, syarikat berkenaan turut memperkenalkan inisiatif Koppiku Cendol Stories yang akan mengetengahkan kisah penjual cendol veteran, selain menggalakkan orang ramai mengunjungi gerai mereka serta menyalurkan sokongan kepada peniaga yang dipaparkan.

Pengasas Koppiku, Dr. Rajiv Bhanot, berkata pihaknya tidak berhasrat menggantikan cendol yang sudah sinonim dengan masyarakat tempatan, sebaliknya mahu memastikan warisan itu terus dihargai.

“Kami bukan di sini untuk menggantikan cendol yang rakyat Malaysia kenali. Kami di sini untuk memastikan rasa yang begitu rapat dengan budaya kita terus dinikmati, diingati dan dikongsi, dan untuk memastikan penjual asli yang memperkenalkannya kepada kita tidak dilupakan,” katanya.

Majlis pelancaran media yang berlangsung di Kuala Lumpur turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa personaliti terkenal seperti ahli perniagaan dan podcaster Asyraf Khalid, pelakon dan usahawan Tya Arifin, pelakon Juliana Evansserta pencipta kandungan, Spacedollah.

Tya yang mengakui dirinya penggemar cendol berkata, kehadiran siri minuman itu memudahkan orang ramai menikmati pencuci mulut berkenaan.

“Saya memang peminat cendol. Lepas ini lebih mudah untuk dapatkan cendol, dan yang paling menarik, ada pilihan yang digabungkan dengan kopi,” katanya.

Pelancaran Cendol Series juga dilihat bertepatan dengan kempen Visit Malaysia 2026, yang memberi penekanan kepada makanan dan budaya tempatan sebagai antara tarikan utama kepada pelancong domestik serta antarabangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN