JAKARTA – Polis di Bandung, wilayah Jawa Barat memburu seorang lelaki yang melarikan diri selepas mendera dan mengurung kekasihnya selama tiga tahun di rumah sewa suspek, lapor laman berita Detik.
Penderaan yang dilakukan oleh suspek dikenali sebagai TH terhadap mangsa, YTR, 29, dilaporkan kepada pihak berkuasa, baru-baru ini.
YTR mengalami cedera parah termasuk gangguan penglihatan, bibir sumbing, sukar bercakap dan ketidakupayaan untuk berjalan.
Kakak mangsa, Melanie Silviani berkata, adiknya masih dirawat di Hospital Hasan Sadikin.
“Luka di muka dan kepala mangsa baru sahaja dibersihkan kerana terdapat nanah. Dia kini boleh berkomunikasi tetapi suaranya tidak jelas,” kata Melanie.
Apabila ditanya tentang perkataan pertama yang dinyatakan oleh mangsa, Melanie berkata YTR memohon maaf.
“Apabila doktor bertanya tentang punca kecederaannya, YTR mula menangis dan mengatakan dia terjatuh di dalam bilik mandi. Tidak lama kemudian, dia mengaku diseksa oleh teman lelakinya.
“Pada mulanya dia tidak jujur. Mangsa diberitahu sekiranya penderaan tersebut diketahui oleh orang lain, dia akan dipukul dengan teruk,” tambah Melanie.
Melanie menggesa pihak berkuasa untuk menangkap pelaku dengan segera dan memberikan hukuman yang setimpal. – AGENSI














