fbpx
Anggota polis membawa Ridhuan (kiri), Mohd. Suhairey (belakang), Mohd. Khairul Azwan (tengah) dan Nik Faizah untuk di Mahkamah Sesyen serta Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini.

Tiga sekawan didakwa rompak barangan kemas enam wanita warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Tiga sekawan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan di empat daerah dengan menyasarkan barangan kemas milik enam wanita warga emas dan menyebabkan kecederaan terhadap tiga daripada mangsa sejak hampir dua tahun lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Mohd. Suhairey Omar, 42, Ridhuan Mohamed, 44, dan Mohd. Khairul Azwan Abdullah@Ahmad, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Suhairey dan Ridhuan yang merupakan penganggur didakwa bersama-sama melakukan kesalahan samun dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Aazizah Ujud, 77.

Perbuatan itu dilakukan di luar depan sebuah rumah di  Cabang 3 Syed Kuning, Kadok dekat Ketereh di sini kira-kira pukul 3.15 petang pada 12 Mei 2026.

Selain itu, Ridhuan dan Mohd. Khairul Azwan turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan perbuatan sama terhadap dua wanita warga emas iaitu Halimah Senik, 62, dan seutas gelang tangan emas milik Siti Meriam Daud, 77.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di luar depan sebuah rumah di Kampung Che Wal, Kuala Krai kira-kira pukul 2.30 petang pada 18 Jun 2025 dan di depan sebuah rumah di Kampung Permatang Piah Pak Bador, Bachok kira-kira pukul 1 tengah hari pada 8 Januari 2025.

Ketiga-tiga pertuduhan terhadap tiga lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, Ridhuan dan Mohd. Khairul Azwan didakwa atas tiga lagi pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap Halimah Yusof, 84, iaitu seutas gelang tangan emas, seutas rantai leher emas termasuk loket emas milik Aminah Yusoff, 73, dan seutas rantai leher emas milik Latifah @ Azizah Yusof, 79.

Perbuatan itu dilakukan oleh ketiga-tiga tertuduh di belakang sebuah rumah di Kampung Bukit Bator Gunong, Bachok pada 5 Februari 2025, di sebuah rumah di Kampung Lepan Kandis, Pulai Chondong dekat Machang pada 9 September 2024 dan di dalam sebuah rumah di Kampung Bukit Bator Gunong, Bachok pada 13 Januari 2026.

Ketiga-tiga lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Kamarul Hasyime Rosli manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak mencadang jaminan terhadap Mohd. Suhairey, Ridhuan dan Mohd. Khairul Azwan.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin selain menetapkan 27 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melupuskan harta curi iaitu beberapa biji manik emas milik Aazizah apabila sudah mengetahui ia merupakan harta curi berkaitan satu kes samun dalam daerah Kota Bharu.

Tertuduh, Nik Faizah Nik Musa, 33, yang bekerja sambilan sebagai pembuat biskut dengan kakaknya membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah kedai emas di Machang dekat sini kira-kira pukul 11.30 pagi pada 13 Mei 2025.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nadzir Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Alini Ahamad Kamil.

Terdahulu, Muhamad Nadzir mencadang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin sebelum Nur Alini memohon ikat jamin yang rendah kerana tertuduh sudah berpisah dengan suaminya dan perlu menanggung tiga anak berusia tiga hingga lima tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 dengan seorang penjamin dan wanita itu tidak membayar jaminan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN