PETALING JAYA – Seramai 349 individu ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah menerusi Op Cantas Bersepadu yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di beberapa daerah di Selangor sejak Khamis lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata operasi itu dijalankan secara bersepadu membabitkan JSJ, Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Pasukan Gerakan Udara, Jabatan Imigresen serta pihak berkuasa tempatan.
Beliau berkata, sebanyak 235 serbuan dan pemeriksaan dijalankan di premis perniagaan, kawasan kediaman serta tapak projek pembinaan sepanjang operasi berkenaan.
“Daripada keseluruhan tangkapan, 280 adalah lelaki dan 69 wanita berusia antara 20 hingga 83 tahun, termasuk 85 warga asing.
“Seramai lima individu yang ditahan adalah orang dikehendaki di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), manakala 34 lagi dikehendaki bagi kes jenayah kekerasan dan jenayah harta benda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan dijalankan membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63, Akta Peniaga Sekendhend 1946, Akta Pertubuhan 1966 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kumar berkata, dua pusat hiburan turut dikesan beroperasi tanpa lesen, manakala 13 premis perniagaan dipercayai menggajikan pekerja warga asing tanpa pas atau permit sah.
“Kejayaan operasi ini membuktikan komitmen berterusan PDRM dalam memperkukuh usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah, khususnya yang melibatkan kegiatan jenayah terancang menerusi kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa lain.
“Orang ramai diseru supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah melalui saluran yang disediakan kerana kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan bersama,” katanya. – KOSMO! ONLINE













