SIK – Selepas 11 hari dilaporkan hilang, seorang lelaki ditemukan dalam keadaan sudah meninggal dunia di kawasan kebun getah di Felda Teloi Timur di sini hari ini.
Mayat lelaki terbabit, Asmadi Ibrahim, 58, dijumpai berhampiran motosikalnya kira-kira pukul 12 tengah hari.
Menurut anaknya, Nurul Atirah Nadira, 23, yang menetap di Kuala Lumpur, dia menerima panggilan daripada penduduk kampung memaklumkan mengenai penemuan mayat bapanya kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
“Memang terkejut dan sedih, namun saya reda ayah sudah tiada. Tidak sangka hari ini dapat perkhabaran ayah sudah ditemui. Saya tidak sabar hendak jumpa ayah meskipun hanya jasadnya yang sudah tidak bernyawa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Atirah berkata, sepanjang tempoh 11 hari ini, dia tidak senang duduk kerana risau keadaan bapanya itu.
“Dalam tempoh pencarian, beberapa masjid juga mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat supaya usaha pencarian dipermudahkan,” katanya.
Kosmo! pada 13 Jun lalu melaporkan seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumah setelah keluar mencari rumput untuk kambingnya di Felda Teloi Timur pada 10 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE














