PASIR MAS – Cubaan seorang pengedar dadah untuk meloloskan diri setelah kereta dipandu merempuh dua buah kenderaan milik Pasukan Gerakan Am (PGA) gagal selepas mereka diberkas di Kampung Semuba Chetok di sini semalam.
Suspek yang berusia 28 tahun itu ditahan pada pukul 6.30 petang selepas anggota PGA mengejar kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu suspek sejauh kira-kira 1.5 kilometer (km).
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisoner Ahmad Radzi Hussain berkata, pihaknya yang menerima maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah ketika melakukan tugasan Ops Taring Wawasan Kelantan membuat pemerhatian terhadap sebuah kereta di Jalan Pasir Mas-Tanah Merah di sini.
Katanya, dua buah kenderaan PGA kemudian berhenti di depan dan belakang kereta tersebut sebelum mengarahkan pemandunya keluar.
“Suspek kemudian bertindak memintas kenderaan PGA dan memecut menghala ke Tanah Merah sehingga menyebabkan anggota terpaksa mengejar sejauh 1.5km sebelum pemandunya membelok ke jalan Kampung Semuba Chetok.
“Kereta dipandu lelaki itu kemudian merempuh kenderaan PGA yang datang dari arah depan sebelum suspek mengundurkan keretanya dan melanggar sebuah lagi kenderaan pasukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi berkata, suspek keluar dari kereta itu untuk melarikan diri menyebabkan berlaku pergelutan dengan anggota PGA sebelum berjaya ditahan.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap beg silang yang dipakai suspek menjumpai sebanyak 53 biji pil kuda dan sebiji pil epam bernilai RM540, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM375.
“Siasatan mendapati, suspek dipercayai mengambil dadah itu daripada seorang lelaki yang tinggal di Kampung Limbat, Kota Bharu.
“Suspek mengaku terpaksa merempuh kedua-dua kenderaan PGA kerana terdesak untuk melarikan diri. Tiada kerosakan dikesan pada kedua-dua kenderaan pasukan,” ujarnya.
Suspek yang berasal dari Kampung Binjai Kangkong di sini diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. – KOSMO! ONLINE














