fbpx
Gambar hiasan.

USM di kedudukan 128 universiti terbaik dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh kedudukannya di persada global apabila berada di tangga ke-128 universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings (QS WUR) 2027.

Pencapaian ini turut meletakkan USM sebagai universiti kedua terbaik di negara ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam kelompok 10 peratus universiti terbaik dunia.

USM dalam satu kenyataan berkata, bagi edisi QS WUR 2027, sebanyak 8,808 institusi pengajian tinggi di seluruh dunia telah dinilai, meningkat daripada 8,467 institusi pada tahun sebelumnya.

“Daripada jumlah tersebut, hanya 1,504 institusi berjaya disenaraikan dalam ranking global. Prestasi yang semakin meningkat ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, memperluas impak penyelidikan, memacu pengantarabangsaan strategik serta memperkasa agenda kelestarian universiti,” katanya di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, antara pencapaian paling menonjol USM ialah indikator Pelajar Antarabangsa, apabila universiti berada pada kedudukan ke-61 dunia.

“USM turut mencatat kedudukan ke-100 dunia bagi indikator Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa (International Research Network, IRN), sekali gus muncul sebagai universiti terbaik di Malaysia bagi indikator tersebut.

“Daripada sembilan indikator QS yang dinilai, USM mencatat peningkatan bagi lima indikator utama iaitu Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa (IRN), Kelestarian (Sustainability), Nisbah Fakulti-Pelajar (Faculty-Student Ratio), Sitasi per Fakulti (Citations per Faculty) dan Fakulti Antarabangsa (International Faculty)

Dalam pada itu, USM juga terus memperkukuh pengaruh penyelidikannya di peringkat antarabangsa apabila bilangan penerbitan bersih (net papers) bagi tempoh 2020 hingga 2024 meningkat sebanyak 7.46 peratus.

“Peningkatan ini mencerminkan kualiti dan keterlihatan penyelidikan USM yang semakin mendapat pengiktirafan dalam komuniti akademik global,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, pencapaian tersebut merupakan hasil komitmen kolektif seluruh warga universiti dalam memperkukuh kecemerlangan institusi di peringkat antarabangsa.

“Peningkatan kedudukan ini mencerminkan usaha berterusan USM dalam memperkasakan kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi dan jaringan antarabangsa.

“Kejayaan ini adalah hasil dedikasi seluruh warga universiti termasuk staf akademik, penyelidik, pelajar, alumni dan kakitangan sokongan yang sentiasa komited dalam memperkukuh reputasi USM di persada dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN