fbpx
Tangkap layar memaparkan hantaran yang dimuat naik oleh @Sososobrino_ di laman Threads.

‘Suara suami memang kuat’, isteri tampil perjelas video tengking anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang wanita yang tular selepas didakwa ditengking suami dalam kejadian di hadapan sebuah restoran makanan segera berhampiran Lapangan Terbang Senai tampil menjelaskan kejadian sebenar.

Menerusi rakaman audio yang dikongsikan seorang pengguna Threads, wanita itu menjelaskan video yang tular di media sosial sejak semalam sebenarnya berlaku kira-kira empat bulan lalu.

Katanya, banyak dakwaan yang tersebar mengenai kejadian tersebut telah ditokok tambah sehingga menimbulkan salah faham terhadap suaminya.

“Video yang awak tengok itu sebenarnya empat bulan yang lepas, tetapi diviralkan (ditularkan) semalam. Benda (perkara) itu sebenarnya sudah ditokok tambah.

“Anak akak (saya) menangis sebenarnya bukannya dimarahi oleh suami. Dia sendiri terjatuh sebab dekat situ ada batu. Akak ambil dan dukung anak akak,” katanya.

Jelas wanita itu, dakwaan berhubung suaminya menengking atau memarahi anak mereka adalah tidak tepat sama sekali kerana lelaki tersebut mempunyai suara yang lantang, sekali gus menimbulkan persepsi berbeza dalam kalangan netizen.

“Suara suami akak memang kuat. Akak dah hidup lama dengan dia. Akak tahulah percakapannya macam mana, tetapi orang yang viralkan video itu cakap suami akak macam nak bergaduh. Padahal bukan (tidak),” katanya.

Mengulas punca suaminya datang ke tempat kerja pada hari kejadian, wanita itu berkata, pasangannya perlu bekerja pada pukul 7 malam, sedangkan pada masa sama dia pula diminta bekerja lebih masa (OT).

“Suami akak datang ke tempat kerja sebab dia nak masuk kerja pukul 7, tetapi akak kena OT sampai pukul 7 juga. Itu yang suami akak kata akak kena ambil anak dulu sebab dia nak masuk kerja, tetapi masa memang tak mengizinkan,” ujarnya.

Sebelum ini, satu hantaran di Threads meraih jutaan tontonan apabila mendakwa seorang lelaki menengking isterinya yang sedang bekerja sambil mendukung anak kecil di hadapan sebuah restoran makanan segera di Senai sehingga mengundang kecaman netizen.

Susulan itu, lelaki tersebut tampil membuat permohonan maaf terbuka di Facebook dan sedia untuk berjumpa dengan mana-mana individu yang mahu mendapatkan penjelasan berhubung isu tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN