fbpx
GAMBAR HIASAN

Harga diesel semenanjung turun 30 sen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 18 hingga 24 Jun ini diturunkan sebanyak 30 sen kepada RM4.37 seliter berikutan pergerakan purata harga pasaran antarabangsa pada minggu sebelumnya.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata, penurunan tersebut dibuat selaras dengan formula Mekanisme Harga Automatik (APM) yang digunakan kerajaan bagi menentukan harga bahan api.

Menurutnya, perkembangan positif dalam konflik di Asia Barat khususnya petanda ke arah penyelesaian yang lebih berkekalan telah membantu menyederhanakan harga minyak mentah global berbanding paras tertinggi sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat beberapa risiko jangka pendek yang boleh mengekang penurunan harga minyak mentah dan produk petroleum ke paras sebelum konflik.

“Antaranya termasuk ketidaktentuan berhubung pembukaan semula laluan perdagangan di Selat Hormuz, gangguan bekalan yang dijangka mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih sepenuhnya serta risiko rundingan damai tidak mencapai penyelesaian muktamad,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan memaklumkan tanggungan subsidi berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi iaitu sekitar RM3.5 bilion sebulan.

Daripada jumlah tersebut, subsidi RON95 dianggarkan mencecah RM2 bilion sebulan manakala subsidi diesel pula sekitar RM1.5 bilion sebulan.

Bagi tempoh sama, harga RON97 dikekalkan pada RM4.35 seliter manakala RON95 kekal RM3.72 seliter.

Kerajaan turut mengekalkan harga RON95 bersubsidi di bawah Budi95 pada RM1.99 seliter untuk lebih 14 juta penerima yang layak.

Menurutnya, pada harga RON95 tanpa subsidi RM3.72 seliter, penggunaan 200 liter sebulan akan menelan kos RM744, sekali gus menyaksikan kerajaan menanggung sehingga RM346 bagi setiap penerima yang menggunakan kelayakan penuh Budi95.

Selain itu, harga diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter adalah lebih dua kali ganda berbanding harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter yang diberikan bagi mengurangkan impak kepada rakyat menerusi kos pengangkutan awam dan logistik barangan pengguna.

Kementerian Kewangan turut menegaskan kerajaan akan terus melaksanakan bantuan dan subsidi bersasar bagi melindungi kebajikan rakyat serta memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN