REMBAU – Penantian seorang gadis untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya berakhir apabila terpilih sebagai penerima Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Dato’ Undang Haji Muhamad Sharip di Chembong, di sini semalam.
Noor Asikin Mohd. Yazid, 22, yang kisahnya sebelum ini dilaporkan Kosmo! kerana kehidupan serba kekurangan lega apabila abangnya orang kurang upaya (OKU) terlantar, Shahrizam Muhd Nasir, 31, dan ibunya,
Mahani Che Bulat @ Che Mud, 52, dapat menetap di kediaman yang lebih selesa menggantikan rumah kedai yang sudah uzur.
“Alhamdulillah, selepas lama tunggu dan sabar, akhirnya rezeki berpihak kepada saya. Rumah ini memang saya mohon untuk keluarga dan terutama sekali untuk mak saya.
“Saya sentiasa berdoa dan yakinkan diri supaya terus bersabar walaupun permohonan sebelum ini tidak berjaya kerana dokumen tidak lengkap. Hari ini (1 Muharam) menjadi hadiah yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui di Pekan Pedas, di sini semalam.
Surat tawaran berkenaan disampaikan sendiri oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu sempena Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Pengundian Unit Fasa 2
Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Dato’ Undang Haji Mohd Sharip, Mukim Chembong kepada Noor Asikin di Pekan Pedas, di sini.
Kata Noor Asikin, penerimaan rumah itu juga amat bermakna kerana berlaku sempena kedatangan tahun baharu Islam.
“Saya anggap ini rezeki 1 Muharam. Saya sangat teruja untuk memulakan kehidupan dalam persekitaran baharu bersama keluarga,” ujarnya.
Sementara itu, Aiman Athirah berkata, kisah Noor Asikin antara contoh rakyat yang berjaya dibantu menerusi intervensi kementerian selepas berdepan masalah dalam proses permohonan.
“Kisah dia menyentuh hati kerana sebelum ini permohonannya tidak berjaya disebabkan beberapa perkara yang tidak lengkap. Namun, kita bantu memudahkan proses tersebut sehingga dia berjaya dapat kediaman selesa,” ujarnya.














