BALIK PULAU – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang 1448H/2026M atas sumbangan cemerlang dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan inovasi negara.
Abdul Rahman, 62, berkata pengiktirafan itu menjadi pemangkin untuk beliau terus memperkukuh agenda pembangunan ilmu dan bakat negara terutama dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Menurutnya, Malaysia perlu melahirkan lebih ramai tenaga mahir bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi khususnya sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.
Beliau berkata Pulau Pinang sebagai hab utama industri E&E memerlukan bekalan bakat berkemahiran tinggi secara berterusan bagi menyokong lebih 350 syarikat multinasional dan ribuan industri berkaitan yang beroperasi di negeri itu.
“Visi kita ialah memastikan Malaysia terus melahirkan bakat hebat khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi supaya negara mampu bersaing dengan negara seperti Singapura, Taiwan, China dan Korea,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah itu pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang di Dewan Seri Al-Jazari TVET MARA, di sini hari ini.
Terdahulu, Abdul Rahman menerima plak, sijil serta wang tunai RM10,000 yang disampaikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.-KOSMO! ONLINE.














