fbpx
Anwar ketika mengadakan pertemuan bersama Rustam Minnikhanov, sebaik tiba di Kazan, pagi tadi. Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Malaysia – Tatarstan perluas kerjasama perdagangan, pendidikan dan teknologi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia dan Tatarstan meneroka potensi memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan, industri halal, teknologi dan pembangunan bakat.

Perbincangan itu dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov, sebaik tiba di Kazan, pagi tadi.

Anwar berkata, sektor tenaga turut menjadi fokus utama memandangkan Tatarstan merupakan antara wilayah pengeluar minyak utama di Persekutuan Rusia.

“Usai tiba di Kazan, saya mengadakan pertemuan dengan Rustam Minnikhanov, bagi bertukar pandangan mengenai hubungan serta peluang kerjasama yang boleh diteroka demi manfaat kedua-dua pihak.

“Kami melihat ruang kerjasama yang luas dalam industri minyak dan gas, termasuk aktiviti hiliran, penapisan serta petrokimia.

“Turut disentuh, peranan KazanForum dalam memperkukuh hubungan perniagaan, selain membuka peluang baharu dalam bidang inovasi, ekonomi digital dan pelaburan strategik,” katanya menerusi kenyataan.

Pada masa sama, Anwar turut merakamkan ucapan kepada Kazan atas pengiktirafannya sebagai Bandar Kebudayaan Dunia Islam 2026 oleh Pertubuhan Negara Islam Bagi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan.

“Pengiktirafan itu mencerminkan peranan Kazan sebagai pusat keilmuan Islam, kebudayaan dan inovasi.

“Saya juga menghargai visi Presiden Vladimir Putin dalam mewujudkan Strategic Vision Group, sebagai jambatan penting antara Rusia dan dunia Islam dalam memperkukuh dialog serta kerjasama yang lebih bermakna,” ujarnya.

Terdahulu, Anwar dilaporkan tiba di Kazan bagi lawatan kerja dua hari ke ibu negara dan bandar terbesar di Tatarstan, Russia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Russia, yang bermula hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN