PETALING JAYA – Pengguna media sosial terutama penjawat awam masing-masing tidak sabar menanti-nantikan hari gaji 25 Jun depan, malah turut memberi gambaran banyak perbelanjaan telah digunakan pada bulan ini lebih-lebih lagi mereka menerima gaji awal pada 21 Mei lalu.
Menerusi perkongsian di Thread, mereka juga berseloroh dan berjenaka bahawa baki wang di bank sudah ‘nyawa-nyawa ikan’ memandangkan banyak digunakan untuk berbelanja ketika cuti Hari Raya Aidiladha lalu, selain cuti sekolah.
“Penjawat awam to (kepada) penjawat awam. Kita ada sembilan hari lagi. Sabar tenang,” kata @Zulzahin pada hantaran Thread memberi semangat kepada rakan-rakan penjawat awam.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada pengguna Thread dan mereka meluahkan keadaan perbelanjaan masing-masing sambil berjenaka.
“Tercungap dah ni, tempat kerja pula buat jualan durian. Tak boleh tunggu gaji ke tu,” komen @Justaplaingirl.
“Tinggal maruah dan harga diri je ni,” kata @Danny Eim.
“Rindu kat dia (gaji), lama lagi nak jumpa. Makan roti je ni,” kata @Farashina.
“Daging korban, mi segera, sardin je sekarang ni,” kata @Natadecoco girl.
“Sembilan hari lagi muka suami saya nampak lebih bercahaya,” kata @Sf4rhmxmi secara berjenaka. – KOSMO! ONLINE














