BENTONG – Keluarga empat mangsa yang maut dalam kemalangan tragis di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) Bentong dekat Bukit Tinggi semalam menuntut tindakan tegas diambil terhadap pemandu lori yang disahkan positif dadah jenis methamphetamine.
Kemalangan kira-kira pukul 4.20 petang itu meragut nyawa A. Halim Hasoon, 55, isterinya Rozita Buang, 58, anak perempuan mereka, Norbahyah A. Halim, 26, serta cucu perempuan berusia setahun, Nayla Afya Aizat Faizal.
Abang kepada Rozita, Jamlus Buang, 69, berkata tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap pemandu berkenaan, lebih-lebih lagi apabila kejadian melibatkan pemandu yang positif dadah sering berulang.
“Keluarga berharap pihak berkuasa mengambil tindakan paling tegas terhadap pemandu lori tersebut. Pemandu seperti ini tidak sepatutnya berada di jalan raya kerana membahayakan nyawa pengguna lain.
“Kami menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh. Buat masa ini, itu sahaja yang boleh saya komen,”katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Hari ini Pegawai Khas Menteri Besar Pahang, Datuk Jasvir Singh Ram Singh menyampaikan sumbangan peribadi daripada Menteri Besar Pahang kepada waris keluarga berkenaan di Felda Mempaga di sini.
Ketika ditanya sama ada keluarga akan mengambil tindakan undang-undang termasuk saman terhadap pemandu lori terbabit, Jamlus berkata perkara itu masih dalam perbincangan bersama ahli keluarga yang lain. – KOSMO! ONINE














