ROMPIN – Penduduk di sekitar Felda Selendang, di sini dikejutkan dengan serangan harimau menyebabkan enam ekor lembu mati dibaham dalam kejadian di Ladang Sungai Mok, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian tersebut disedari oleh penduduk selepas menemui enam bangkai lembu.
“Lima lembu betina dan seekor lembu jantan baka brahman mati dengan kesan gigitan di leher.
Pengadu mengesyaki lembu-lembu tersebut dibaham harimau kerana terdapat kesan tapak kaki dipercayai milik haiwan liar berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sharif Shai, setakat ini jumlah kerugian yang dialami mangsa dianggarkan sebanyak RM6,300.
Katanya, pihak polis kemudian membuat laporan untuk tindakan pihak veterinar dan Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Rompin. – KOSMO! ONLINE














