KUALA NERUS – Seorang pelajar tingkatan dua yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan ambulans di persimpangan Jalan Kampung Tebauk, di sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.50 petang itu, mangsa, Faris Dasuki Bokhairi, 14, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, ketika kejadian, remaja itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Tunggal dari Batu Enam di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Modenas Kriss yang ditunggang mangsa dipercayai gagal mengelak dan merempuh ambulans yang dikatakan sedang membelok untuk masuk ke simpang kanan,” katanya hari ini.
Azli berkata, mayat Faris Dasuki dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, pemandu ambulans berusia 19 tahun dan seorang penumpang hadapan tidak mengalami kecederaan. – KOSMO! ONLINE














