PETALING JAYA – Seorang tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki minyak masak seberat 14,534 kilogram (kg) tanpa lesen, Khamis lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh, Ng Jen Choon, 49, bersama-sama tiga lagi individu didakwa memiliki barang berjadual tanpa lesen di sebuah premis di Taman Sri Serdang Fasa 4, Seri Kembangan, pada pukul 1 petang, 11 Jun lalu.
Pertuduhan telah dikemukakan mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya, denda maksimum RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, pertuduhan sama terhadap tiga lagi individu tidak dapat dibacakan pada prosiding hari ini berikutan ketiadaan jurubahasa Myanmar.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh kemudian membenarkan Jen Choon diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu lapor diri di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya pada setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan pertuduhan terhadap tiga lagi tertuduh pada 13 Julai ini. – KOSMO! ONLINE














