MONTERREY – Sweden memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan garang apabila nembelasah Tunisia 5-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan F di Stadium Monterrey, sebentar tadi.
Skuad bimbingan Graham Potter itu hanya memerlukan tujuh minit untuk berada di hadapan menerusi rembatan kencang pemain muda berusia 22 tahun, Yasin Ayari yang menuju tepat ke arah pintu gol lawan.
Gol tersebut berpunca daripada asakan bertali arus penyerang sensasi Sweden, Alexander Isak dan Viktor Gyokeres yang memaksa penjaga gol Tunisia, Mouhib Chamakh melakukan kesilapan sebelum Ayari menyambar bola muntah.
Tersentak dengan jaringan awal itu, Tunisia yang dibimbing Sabri Lamouchi cuba bangkit memperkemaskan permainan menerusi pemain tengah, Anis Ben Slimane, namun percubaan berbahaya tersebut sekadar tersasar di sisi gawang yang dikawal Kristoffer Nordfeldt.
Sweden terus garang menggandakan kelebihan pada minit ke-29 hasil gerakan lincah Isak sebelum melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti yang gagal ditepis kemas oleh Chamakh, sekali gus meletakkan Sweden selesa mendahului 2-0.
Namun, Tunisia kembali merapatkan jurang seminit sebelum tamat separuh masa pertama hasil tandukan kemas Omar Rekik hasil hantaran cantik Hannibal Mejbri.
Harapan Tunisia untuk menyamakan kedudukan musnah pada babak kedua selepas kapten mereka, Ellyes Skhiri dihukum akibat kehilangan bola di kawasan berbahaya.
Isak yang merampas bola tersebut pantas melorongkan umpanan buat Gyokeres yang tenang melakukan penyudah kaki kanan untuk gol ketiga Sweden pada pertengahan babak kedua.

Sweden terus menekan dan menambah gol keempat pada minit ke-85 menerusi pemain gantian, Matthias Svanberg yang hanya berada di atas padang selama 18 saat.
Jaringan tersebut pada mulanya dibatalkan kerana ofsaid, namun pengadil mengesahkan gol tersebut selepas semakan VAR mendapati bola terlebih dahulu terkena sentuhan Isak sebelum jatuh ke kaki Svanberg sebelum menjaringkan gol.
Sweden melengkapkan pesta gol mereka pada minit keenam masa kecederaan menerusi Ayari yang berjaya menyumbat masuk gol kedua peribadi.
Pemain tengah itu melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan Chamakh, sekali gus menutup hari cemerlang Sweden dengan kemenangan bergaya 5-1.
Kemenangan besar itu menyaksikan Sweden mengungguli carta Kumpulan F dengan tiga mata selepas perlawanan antara Belanda dan Jepun berakhir dengan keputusan seri 2-2. -AGENSI














