DUNIA hiburan antarabangsa digemparkan dengan tragedi memilukan apabila penyanyi dan penulis lagu Amerika Syarikat, Oliver Tree maut selepas terlibat dalam nahas dua helikopter bertembung di Brazil.
Dalam kejadian ngeri di ruang udara Recreio dos Bandeirantes, barat Rio de Janeiro, semalam, kedua-dua pesawat dilaporkan berlanggar sebelum terhempas ke kawasan parkir sebuah pengedar kenderaan elektrik.
Impak perlanggaran mencetuskan kebakaran besar sehingga memusnahkan kira-kira 20 kenderaan, sekali gus meragut kesemua enam nyawa di lokasi kejadian.
“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca perlanggaran di udara.
“Tiada mangsa terselamat dalam nahas ini dan semua disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Keadaan mayat yang melecur teruk menyukarkan proses pengecaman identiti,” menurut kenyataan pihak berkuasa.
Salah satu helikopter membawa lima individu termasuk Tree, 32, manakala sebuah lagi hanya dinaiki juruterbang.
Turut berada dalam pesawat sama ialah penerbit muzik Brazil, Lucas Brito Chaves, pengarah video Argentina, Lucas Vignale serta YouTuber Argentina, Gaspar Prim atau dikenali sebagai Gaspi.
Tree berada di Brazil sebagai sebahagian daripada jelajah dunia dan baru sahaja membuat persembahan di Sao Paulo pada 6 Jun lalu.
Mendiang aktif berkongsi aktiviti sepanjang berada di Brazil termasuk video bermain bola di kawasan kejiranan.
Lebih menyedihkan, persembahan seterusnya dijadual berlangsung di Lisbon pada 1 Julai depan.
Dilahirkan sebagai Oliver Tree Nickell pada 29 Jun 1993 di Santa Cruz, California, penyanyi eksentrik itu mula mencipta nama dalam dunia muzik sejak usia remaja.
Pada usia 17 tahun, dia menembusi arena EDM sebelum bekerjasama rapat dengan artis seperti Skrillex dan Zeds Dead selain mula mencipta muzik sejak remaja dan terus mengukuhkan nama dalam industri global.
Albumnya berjudul Ugly Is Beautiful yang dilancarkan pada 2020 berjaya meraih pengiktirafan emas malah ketika hayatnya berakhir, dia sedang bersiap untuk jelajah dunia merangkumi lebih 30 negara.
Tree dikenali dengan imej rambut ‘mangkuk’ serta persona unik di pentas, selain hit seperti Life Goes On, Miss You dan Alien Boy.
Dia turut memiliki lebih 11 juta pendengar bulanan di Spotify dengan jumlah penstriman lagu mencecah ratusan juta.
Selain muzik, Tree aktif mengarah video muzik sendiri dengan gaya dramatik dan eksentrik, malah pernah mencipta rekod dunia Guinness bagi skuter terbesar pada 2020. – KOSMO! ONLINE.














