HOUSTON – Juara dunia empat kali, Jerman membuka langkah dalam aksi pertama Kumpulan E Piala Dunia 2026 dengan penuh bergaya apabila membelasah Curacao 7-1 di Stadium Houston.
Bintang Arsenal, Kai Havertz menjadi pemain paling menyerlah buat Jerman selepas menyumbangkan dua gol dan keputusan ini mengukuhkan reputasi skuad kendalian Julian Nagelsmann sebagai pilihan utama untuk menjuarai Kumpulan E.
Walaupun pahit, kekalahan ini pastinya memberikan pengajaran berguna buat Curacao yang kini harus melakukan persiapan lebih rapi untuk cuba mendapatkan mata berharga daripada baki dua perlawanan lagi selepas ini.
Seperti dijangka, Jerman yang dibarisi ramai nama besar mendominasi permainan sejak daripada awal dan hanya memerlukan enam minit untuk membuka jaringan menerusi Felix Nmecha.
Jaringan itu seakan beri semangat tambahan buat Curacao dan minit ke-21, Livano Comenencia kembali menyamakan kedudukan namum kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Nico Schlotterbeck meledak gol kedua Jerman, minit ke-38.
Skuad Die Mannschaft melengkapkan aksi 45 minit pertama dengan lebih selesa, kali ini giliran Havertz merobek gawang lawan menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan.
Jerman hanya memerlukan dua minit di babak kedua untuk menambah gol keempat menerusi Jamal Musiala sebelum memperoleh tiga lagi jaringan daripada Nathaniel Brown (minit ke-68), Deniz Undav (minit ke-78) dan Havertz (minit ke-88). AGENSI














