fbpx
UTEM menjadi universiti pertama di negara ini yang menawarkan program DPP berteraskan TVET.

UTeM pelopor program doktoral DPP berteras TVET

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sekali lagi melakar sejarah apabila menjadi institusi pengajian tinggi pertama di negara ini menerima kelulusan Malaysian Qualifications Agency (MQA) untuk menawarkan program Doktor Amalan Profesional (DPP) berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Kelulusan itu disifatkan sebagai pencapaian penting dalam usaha memperkukuhkan ekosistem pendidikan tinggi negara.

Ini secara tidak langsung membuka laluan lebih luas kepada pakar teknologi dan golongan profesional industri melanjutkan pengajian ke peringkat doktoral berasaskan amalan industri sebenar.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts Dr. Massila Kamalrudin berkata, berbeza dengan program ijazah doktor falsafah (PhD) konvensional yang lebih menumpukan penyelidikan teori, DPP memberi fokus kepada penyelesaian isu industri menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan kerja (Professional Practice-Based Learning).

“Menerusi pendekatan itu, pelajar akan menjalankan penyelidikan secara langsung di tempat kerja masing-masing bagi menghasilkan penambahbaikan proses yang berimpak tinggi serta penyelesaian praktikal lebih efektif.

“Ini dapat memberi manfaat secara langsung kepada industri melalui aplikasi pengetahuan, teknologi dan inovasi dalam persekitaran kerja yang sebenar,” katanya kepada K-Kampus baru-baru ini.

Jelasnya, program berkenaan dibangunkan secara teliti dengan penglibatan rakan strategik industri bagi memastikan kurikulum relevan, praktikal dan memenuhi keperluan semasa pasaran pekerjaan.

“Pelaksanaan program ini turut mengambil kira keperluan negara dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang berlatarbelakangkan TVET.

“Ia memfokuskan kepada bidang teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, sistem tenaga pintar, digitalisasi industri, automasi dan teknologi mampan,” katanya.

Tambahnya, program itu juga dilihat sebagai kesinambungan penting laluan pendidikan TVET sehingga ke peringkat kedoktoran.

Penawaran program itu juga dapat memperkukuh pembangunan modal insan negara dalam bidang teknikal dan teknologi berimpak tinggi.

Akui Massila, penganalisis pendidikan melihat pengenalan DPP sebagai langkah strategik yang mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap TVET.

“Sebelum ini, bidang TVET sering dianggap terhad kepada pendidikan kemahiran peringkat rendah dan sederhana sahaja.

“Namun, kewujudan laluan doktoral berteraskan TVET ini diyakini mampu meningkatkan daya tarikan golongan profesional untuk terus meningkatkan kelayakan akademik tanpa perlu meninggalkan sektor pekerjaan masing-masing,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN