LIMA siswi tahun dua di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi kumpulan Serinadi telah mengambil inisiatif memperkasakan warisan komuniti melalui pendekatan digital.
Ketua kumpulan itu, Nur Najwa Asyila, 22, berkata, inisiatif tersebut dilakukan menerusi Program Impact Digital Community Tourism (IDCT) 2.0 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Menurutnya, inisiatif berkenaan juga selari dengan aspirasi Community-Driven University for a Sustainable World serta menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Inisiatif ini adalah untuk memberi tumpuan kepada pembangunan pelancongan komuniti berasaskan inovasi digital, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan keusahawanan sosial.
“Kami memilih Rembau (Negeri Sembilan) kerana daerah ini mempunyai kekuatan warisan budaya, adat dan produk pelancongan komuniti yang sangat unik, namun masih belum diketengahkan secara meluas di platform digital.
“Kami dapati, Rembau bukan sahaja terkenal sebagai daerah beradat, malah mempunyai nilai sejarah, makanan tradisional, produk warisan dan lokasi ekopelancongan yang sangat berpotensi untuk dipromosikan,” katanya kepada K-Kampus baru-baru ini.
Kumpulan Serinadi turut dianggotai oleh Nurul Aina Rozlie, 21, Nik Nurmaisarah Nek Hussin, 22, Erna Farahana Muhamad Rohaizan, 22, dan Nur Aliyah Syahirah Abd. Rasid, 22.
Ujar Nur Najwa Asyila lagi, mereka sangat teruja kerana dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam kursus pelancongan di lapangan dengan bantuan mentor, Dr. Nor Azrul Mohd. Zin.
“Antara yang kami lakukan adalah menghasilkan kandungan promosi digital seperti video pendek, fotografi pelancongan, info grafik, penjenamaan media sosial dan dokumentasi lokasi pelancongan di Rembau.
“Kami juga turun padang bertemu komuniti setempat, pengusaha produk warisan dan pihak berkaitan untuk memahami sendiri identiti sebenar Rembau supaya promosi yang dihasilkan lebih autentik dan dekat dengan masyarakat,” katanya.

Menurutnya, projek berkenaan telah dimulakan pada hujung tahun lalu, dan sepanjang tempoh tersebut pihaknya telah melakukan jejak warisan secara berkala di beberapa lokasi utama sekitar Rembau.
“Antara lokasi yang dilawati untuk diketengahkan adalah Pusat Rekreasi Hutan Lipur Gunung Datuk yang terkenal sebagai destinasi pendakian dan ekopelancongan di Negeri Sembilan.
“Muzium Rembau pula menyimpan pelbagai khazanah sejarah dan identiti masyarakat setempat.
“Muzium Rembau mempunyai keunikan tersendiri melalui replika Istana Raja Melewar yang menjadi simbol sejarah awal pemerintahan Negeri Sembilan serta perkembangan adat perpatih di negeri ini.
“Keunikan seni bina tradisional dan nilai sejarah yang terdapat pada replika tersebut menjadikan muzium ini sangat berpotensi untuk menarik pelancongan dan lokasi pendidikan sejarah kepada generasi muda,” katanya.
Selain itu, mereka turut memberi perhatian kepada perusahaan desa seperti Bahulu Sabut Warisan SeeTam yang masih mengekalkan kaedah pembakaran tradisional menggunakan sabut kelapa dan kayu api.
“Produk warisan seperti ini bukan sekadar makanan tradisional, malah mencerminkan identiti, kemahiran dan sejarah masyarakat setempat,” katanya.
Menurutnya, tarikan gastronomi seperti Kafe Singgahsana yang terkenal dengan hidangan masak lemak cili api turut diketengahkan sebagai sebahagian daripada pengalaman pelancongan di Negeri Sembilan.
“Pengalaman paling manis apabila dapat melihat sendiri keterbukaan komuniti tempatan menerima kehadiran mahasiswa dan berkongsi cerita berkaitan sejarah, budaya serta identiti Rembau.
“Kami juga berasa sangat bermakna apabila hasil kandungan yang kami buat mula mendapat perhatian dan sokongan orang ramai di media sosial.
Menurutnya, mereka sangat berharap agar usaha kecil yang dilakukan itu mampu membantu memperkenalkan Rembau kepada masyarakat luar secara lebih meluas, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Kami berharap kandungan digital yang dihasilkan dapat menjadi medium promosi berterusan kepada sektor pelancongan komuniti dan industri desa di kawasan ini.
“Selain itu, kami berharap program seperti IDCT 2.0 dapat membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa untuk turun ke lapangan dan bekerjasama dengan komuniti dalam membangunkan pelancongan tempatan,” katanya.














