APABILA memperkatakan tentang kehidupan di universiti, majoriti daripada kita sering membayangkan rutin harian di dewan kuliah, perpustakaan dan bilik penginapan.
Namun, bagi sekelompok mahasiswa di Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kampus menjadi tempat untuk menabur bakti dan menimba ilmu di peringkat antarabangsa.
Baru-baru ini, seramai 27 mahasiswa KTDI dan dua pegawai pengiring telah mengikuti program mobiliti antarabangsa dikenali sebagai Pontianak Odyssey Voyage 2026 (POV’26) di Pontianak, Indonesia.
Sepanjang program selama enam hari itu, delegasi berkenaan terlibat dengan pelbagai pengisian akademik, kebudayaan serta aktiviti komuniti.
Menurut Pengetua KTDI, ChM. Dr. Mohd. Akmali Mokhter, peranan sesebuah kolej kediaman di UTM kini sudah jauh berubah.
Katanya, ia bukan lagi sekadar fasiliti menguruskan tempat penginapan atau asrama semata-mata, sebaliknya berfungsi sebagai satu ekosistem yang utuh untuk membentuk jati diri, melatih kepimpinan dan menyemarakkan semangat kesukarelawanan para pelajar.

Di bawah pengurusan universiti, setiap kolej di UTM diberikan satu niche area (kawasan khusus) dan petunjuk prestasi utama (KPI) khusus.
Bagi KTDI, fokus utamanya adalah kebudayaan, pembangunan multidisiplin, dan multiculturalism (pelbagai budaya).
Disebabkan itu, lahirlah program ‘Satu Kolej, Satu Asia’ yang menyasarkan penerokaan ke sebuah negara Asia pada setiap tahun menerusi kolaborasi pendidikan, penyelidikan, mahupun pertukaran budaya.
Sebelum menjelajah ke wilayah Kalimantan Barat pada tahun ini, KTDI sebenarnya telah mengukir jejak di pelbagai pelosok Nusantara sejak tahun 2019.
Antara wilayah yang telah dijelajahi termasuklah Yogyakarta di Indonesia untuk mempelajari budaya Jawa, Sulawesi Selatan (Indonesia) untuk mengkaji budaya Bugis, selain Kemboja dan Thailand bagi meneliti sejarah Melayu Champa serta Siam.
Ujarnya, pemilihan Pontianak pada tahun ini adalah disebabkan destinasi itu disifatkan unik kerana jarang diterokai oleh masyarakat Malaysia berbanding lokasi popular lain seperti Jakarta, Bandung atau Bali.
Malah, kolaborasi erat bersama Universitas Tanjungpura (UNTAN) yang menjadi tunjang utama program itu sebenarnya telah terjalin sejak tahun 2012 lagi.
Program POV’26 kali ini turut mendapat sokongan dan penajaan daripada Bank Indonesia, di mana majlis pembukaan telah diadakan di dewan utama bank tersebut serta sumbangan produk makanan daripada jenama Sudee.
Ketika di sana, Mohd. Akmali turut menyumbang kepakarannya dengan membawa teknologi alam sekitar untuk dikongsikan kepada para pensyarah dan pelajar UNTAN dalam satu sesi seminar pertukaran ilmu.
Selain itu, program itu menjadi platform penting untuk mempromosikan pengajian tinggi UTM kepada pelajar-pelajar di Indonesia yang sentiasa melihat Malaysia sebagai destinasi impian untuk menyambung pelajaran.
Sementara itu, Pengarah Program POV’26, Nur Atikah Jamili, 22, yang merupakan pelajar tahun ketiga bidang kejuruteraan mekanikal berkata, salah satu slot paling berimpak sepanjang program itu adalah seminar ‘Equator Youth Connect’.
Di dalam slot ini, mahasiswa UTM daripada pelbagai latar belakang akademik, termasuk kejuruteraan perisian, kejuruteraan mekanikal dan fakulti sains telah berkongsi kepakaran teknologi.
Katanya, mereka telah memperkenalkan asas pengekodan (coding), kecerdasan buatan (AI) dan Arduino kepada pelajar-pelajar di Sekolah Menengah Atas (SMA) Muhammadiyah Kota Pontianak.
Guru-guru dan pelajar di sana sebelum ini tidak pernah didedahkan dengan teknologi Arduino. Disebabkan itu, mereka memberikan maklum balas yang sangat positif dan amat teruja sepanjang sesi praktikal dijalankan.
Selain aspek teknologi, Nur Atikah memberitahu, intipati utama POV’26 adalah meneroka budaya dan warisan.
Katanya, delegasi UTM mempamerkan identiti warisan Malaysia menerusi persembahan dikir barat yang bertenaga, manakala mahasiswa UNTAN pula memukau dengan tarian tradisional Kalimantan Barat.
Hubungan dieratkan lagi dalam sesi pertukaran makanan tradisional, apabila mahasiswa Malaysia memperkenalkan mi bandung tajaan Sudee, sementara pihak UNTAN menghidangkan kuih lapis dan lopes.
Dari sudut akademik dan ekonomi pula, mahasiswa dicabar berfikir secara kritis menerusi aktiviti Sustainable Business Model Canvas (SBMC) bertemakan local wisdom (kebijaksanaan tempatan) untuk membentangkan idea bagaimana warisan tempatan boleh dikomersialkan secara lestari.
Dalam pada itu, Nur Atikah memaklumkan, menguruskan program antarabangsa berskala besar dalam fasa geopolitik dunia yang mencabar seperti kekangan perjalanan akibat konflik antarabangsa memerlukan dia mengendalikan pelbagai kerenah birokrasi.
Ujarnya, tugasan selaku pengarah program nyata berjaya mengasah kemahiran kepimpinannya, terutamanya dalam aspek komunikasi berkesan merentasi perbezaan bahasa, koordinasi tugas jawatankuasa dalam masa terhad serta keupayaan membuat keputusan pantas.
“Antara memori paling berharga buat kami adalah sambutan luar biasa daripada para mahasiswa UNTAN yang menyambut ketibaan delegasi dari UTM di lapangan terbang.
“Kami juga mendapat pengalaman bermakna apabila berpeluang menjejakkan kaki dan melihat garisan khatulistiwa yang merentasi tepat di Pontianak,” ujarnya.
Menariknya, melalui inisiatif itu, UTM bukan sahaja mahu melahirkan graduan yang cemerlang akademik, malah melahirkan modal insan matang kepimpinan, peka masyarakat dan bersedia menjadi warga dunia berbakti.
Bagi perancangan masa depan, KTDI merancangan mejelajah dari Hanoi, Vietnam ke Nanning, China yang bakal dilaksanakan pada bulan Ramadan tahun depan bagi meneroka budaya minoriti Muslim di sana.
















