SUASANA gunung-ganang menghijau di Danau Toba pasti mampu memukau sesiapa sahaja yang berkunjung ke Pulau Samosir, Sumatera Utara, Indonesia.
Menjejakkan kaki ke sini memberikan pengalaman luar biasa tentang betapa indahnya alam ciptaan Tuhan.
Sebelum ini, saya hanya mendengar bualan rakan-rakan yang bercerita tentang keindahan Pulau Samosir dan Danau Toba, lantas membuatkan saya berkobar-kobar mahu ke sana.
Baru-baru ini, saya bersama dua lagi rakan meneroka Pulau Samosir dan Danau Toba, selain ke kota Medan selama empat hari tiga malam.
Menerusi pembacaan dan pengalaman rakan-rakan, mereka menyarankan kami mengambil pakej bersama agensi pelancongan bagi memudahkan pergerakan dan susunan jadual perjalanan.
Ini kerana, perjalanan untuk ke Pulau Samosir bukan sahaja mengambil masa lama, malah kami perlu menaiki pengangkutan air.

Di sini juga tidak ada perkhidmatan e-hailing atau perkhidmatan tempahan pengangkutan awam.
Jadi hasil carian di laman sosial, kami mengambil Pakej Medan Trip bagi memudahkan perjalanan ke lokasi-lokasi tarikan pelancongan. Tambahan pula, jarak ke satu tempat dan ke satu tempat lain agak jauh dengan jalan berliku.
Hari pertama kami dihabiskan untuk perjalanan dan bersantai menghirup kopi di kafe sambil menikmati pemandangan Danau Toba seluas saujana mata memandang.
Kami memulakan hari kedua dengan bersarapan bersama ‘hidangan’ pemandangan indah tasik Toba pada waktu pagi.
Pada hari kedua, kami dibawa ke Huta Siallagan iaitu perkampungan Batak bagi melihat rumah-rumah tradisional mereka dan mengenali sejarah, adat serta budaya suku itu.

Seterusnya, kami ke Bukit Holbung untuk bergambar dan merakam video dengan dron. Bukit ini menjadi destinasi wajib jika berkunjung ke Pulau Samosir. Seterusnya, kami ke Panorama Tele, air terjun Efrata dan Waterfront Pangururan.
Hari ketiga menjadi momen yang tidak akan saya lupa. Kunjungan ke air terjun Sipiso-piso sangat menguji kekuatan fizikal dan mental.
Saya juga mencabar diri menuruni dan mendaki bukit kira-kira 1,000 anak tangga untuk melihat lebih dekat air terjun ikonik itu.
‘Turun separuh nyawa, naik separuh mati.’ Itu ungkapan popular untuk ke air terjun Sipiso-piso setinggi 120 meter.

Jalannya yang agak berliku dan sedikit licin memerlukan setiap langkah perlu berhati-hati.
Segala kesusahan terbayar apabila dapat melihat air terjun Sipiso-piso dengan lebih dekat. Percikkan halus airnya yang menyapa pada wajah membuatkan badan rasa kembali segar.
Seterusnya, kami dibawa ke Sarune Cafe yang berlatar belakang Gunung Sinabung dan bunga lavender.
Hari terakhir kami ke kota Medan untuk membeli-belah cenderamata, menikmati pelbagai juadah dan bersiap untuk pulang ke Malaysia.














