SEREMBAN – Semua pemimpin parti diingatkan supaya terus bekerja bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke – 16 walaupun tidak terpilih sebagai calon.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setiap anggota parti perlu menerima keputusan pucuk pimpinan dan memberikan sokongan penuh kepada calon yang dipilih demi memastikan kemenangan PH.
“Ini perjuangan hidup dan mati kita. Jika nama kita tidak dipilih sebagai calon, adakah kita akan terus bekerja untuk menang?
“Apa juga calon yang dipilih oleh pimpinan, kita mesti sokong. Saya tidak mahu mendengar ada pihak yang tidak menyokong calon diumumkan parti,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) di Seremban, malam ini.
Aminuddin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, PH tidak boleh berdepan situasi pengkhianatan dalaman ketika gabungan itu sedang berusaha memacu pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri.
Pada masa sama, beliau yang juga Menteri Besar menyeru pengundi Negeri Sembilan meletakkan sasaran kadar keluar mengundi sebanyak 80 peratus pada PRN kali ini.-KOSMO! ONLINE.














