PEKAN – “Kawasan ini tetap tanah milik saya. Saya sanggup bayar cukai walaupun tanah saya di dalam laut.”
Itu tegas Edde Firdaus Abdul Aziz,46, yang kecewa apabila chaletnya kini semakin terhakis.
Dia yang sebelum ini meletakkan harapan besar terhadap projek penambakan di kawasan itu kini hampa apabila projek jutaan ringgit itu bukan sahaja tidak memulihkan kawasan yang terhakis, malah hakisan semakin teruk.
Edde Firdaus berkata, pada masa ini dia menganggarkan kawasan tanahnya yang dahulunya dibangunkan dengan chalet yang terkenal di seluruh dunia kini tinggal tidak sampai satu ekar berbanding tiga ekar sebelum ini.
“Saya jadi mangsa dan harapan saya dapat balik tanah ini selepas projek penambakan adalah sia-sia kerana ia semakin teruk terhakis dan mungkin tidak lama lagi habis semuanya.
“Saya dipanggil ke pejabat tanah untuk diberi geran baharu, saya tidak mahu ambil kerana tidak adil bagi saya, cukai saya tetap bayar walaupun tanah saya berada di laut,” katanya semalam.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan hakisan pantai yang teruk di negeri ini menyaksikan Chalet Kekunang Tering di Tanjung Batu milik Edde Firdaus yang lebih dikenali sebagai Pak Yus musnah.
Edde Firdaus telah membeli kawasan tanah seluas 1.4 hektar berharga RM350,000 sebelum membangunkan chalet Kekunang Tering pada 2016.
Menurutnya, dia yang bergiat dalam industri pelancongan berharap satu keputusan adil diberikan kepadanya untuknya membangunkan semula chalet di kawasan Tanjung Batu di sini.
Justeru, dia juga berharap dapat membangunkan kembali chalet di kawasan itu bagi menggiatkan lagi aktiviti pelancongan di kawasan berhampiran pantai berkenaan.
















