PETALING JAYA – Seorang wanita warga Indonesia yang menetap di Malaysia mengundang perhatian selepas berkongsi perasaan terkejut mengenai wang saku yang biasa diberikan ibu bapa kepada anak-anak sekolah di negara ini.
Menerusi video yang tular di media sosial, wanita yang dipercayai berkahwin dengan lelaki Malaysia dan mempunyai tiga anak itu berkata, kebanyakan murid dan pelajar di Malaysia menerima RM5 sehari untuk perbelanjaan di sekolah.
Katanya, apabila ditukarkan kepada mata wang Indonesia, jumlah tersebut bersamaan Rp22,000 (22,000 rupiah).
“Saya terkejut apabila mendapat tahu RM5 sehari untuk anak sekolah di Malaysia dianggap normal. Bila ditukar kepada rupiah, nilainya sekitar Rp22,000,” katanya.
Jelasnya, di Indonesia, nilai Rp22,000 sehari untuk perbelanjaan di sekolah dianggap besar dan mempunyai nilai yang signifikan dalam kehidupan harian masyarakat Indonesia.
Bagaimanapun, selepas beberapa tahun menetap di Malaysia, dia memahami bahawa kos makanan, minuman dan perbelanjaan di kantin sekolah menyebabkan RM5 sehari menjadi jumlah yang lazim diberikan kepada murid dan pelajar.
Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi netizen khususnya dari Malaysia dan Indonesia yang membincangkan perbezaan nilai mata wang serta kos sara hidup antara kedua-dua negara.
“RM5 sekarang memang biasa untuk beli makan dan minum di sekolah,” kata seorang pengguna.
“Kalau tengok dalam rupiah memang nampak besar, tetapi kos hidup di Malaysia dan Indonesia berbeza,” ujar seorang pengguna lain.
Video tersebut terus meraih perhatian ramai dengan sebahagian pengguna media sosial berkongsi pengalaman masing-masing mengenai wang saku ketika zaman persekolahan. – KOSMO! ONLINE














