GEORGE TOWN – Bekalan minyak negara belum berada dalam fasa kritikal walaupun jaminan tempoh bekalan semasa dilaporkan mencukupi sehingga penghujung Julai ini.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pengumuman mengenai jaminan tempoh bekalan minyak itu dilaksanakan berdasarkan tahap ketersediaan stok dari semasa ke semasa.
Menurutnya, kerajaan juga telah mengambil pendekatan lebih telus dengan berkongsi maklumat mengenai bekalan tenaga semasa kepada rakyat.
“Jadi mengapa kerajaan mengumumkan sedemikian (jaminan bekalan minyak mencukupi hingga Julai) kerana kita tahu bahawa dari segi kecekapan pengurusan pengoperasian bekalan tenaga membolehkan kita tahu sejauh mana ketersediaan bekalan ketika ini.
“Maka sebab itu kita memilih jalan yang lebih transparent (telus) untuk berkongsi tahap ketersediaan itu, selepas kita selesaikan persetujuan sama ada dari segi mendapatkan bekalan dari mana, kos dan sebagainya.
“Jadi sebab itu bukan bermaksud sehingga Julai kita berada dalam keadaan sukar. Sebaliknya, apabila bekalan disahkan, kita akan memberikan jaminan berdasarkan maklumat yang ada ketika itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jaminan tempoh bekalan minyak negara yang dilaporkan mencukupi sehingga Julai ini.
Terdahulu, beliau hadir merasmikan Pusat Teknologi dan Inovasi NCER (NTIC) di Bayan Lepas di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, harga bekalan minyak ketika ini masih tidak menentu dan kerajaan tidak mahu terikat dengan perjanjian yang terlalu panjang.
“Cuma perkara dari segi menjamin bekalan ini memang kita akan umumkan dari semasa ke semasa sebab simpanan itu di peringkat operasi, maka biasanya syarikat-syarikat bekalan minyak terutamanya Petronas akan akan terus mengemas kini status bekalan selepas setiap rundingan dan perjanjian dimeterai,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Akmal Nasrullah menjelaskan, kerajaan turut meneroka sumber bekalan baharu termasuk dari benua Afrika, Rusia, Turkiye, Amerika Syarikat (AS) serta Singapura.
Katanya, proses mengenal pasti sumber baharu sememangnya sedang berjalan, namun ia perlu mengambil kira ketersediaan fasiliti tempatan untuk memproses bekalan yang diperoleh. -KOSMO! ONLINE














