PARIT BUNTAR – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan membawa bekalan ikan dari Sabah ke Semenanjung bagi membantu menstabilkan harga pasaran di Semenanjung.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, inisiatif itu sedang diperhalusi menerusi kerjasama antara persatuan nelayan di Sabah dan Semenanjung bagi memastikan pengagihan bekalan lebih seimbang di seluruh negara.
“Sabah mempunyai hasil tangkapan (ikan) lebih banyak serta harga lebih rendah akan disalurkan ke Semenanjung bagi membantu mengimbangi kos pasaran tempatan.
“Ikan lebih murah dan banyak, jadi kita mahu salurkan ke Semenanjung untuk bantu kestabilan harga,” katanya selepas menghadiri Program Peningkatan Pendapatan Touch Point di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang di sini hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz memberi jaminan bahawa bekalan ikan negara kekal mencukupi meskipun dijangka berlaku penurunan tangkapan sehingga hujung tahun ini susulan gangguan operasi vesel kategori C2 yang berdepan isu kenaikan kos diesel.
Menurutnya, situasi itu tidak menjejaskan keperluan domestik kerana kadar sara diri (SSR) ikan negara ketika ini hampir mencapai 90 peratus.
“Bekalan ikan untuk memenuhi permintaan domestik memang mencukupi, jadi rakyat tidak perlu risau,” katanya.-KOSMO! ONLINE














