PETALING JAYA – Warga Rohingya yang telah menetap di Malaysia dipercayai sanggup membayar sehingga RM25,000 seorang kepada ejen di Myanmar bagi membawa masuk ahli keluarga mereka ke negara ini secara tidak sah.
Peguam, Nurul Hafidzah Hassan berkata, maklumat tersebut diperoleh hasil pengalaman beliau mewakili beberapa anggota polis, penjawat awam dan orang awam yang terlibat dalam kes berkaitan penyeludupan migran menerusi laluan laut di utara Semenanjung.
Menurutnya, kos membawa masuk individu tertentu boleh mencecah puluhan ribu ringgit, malah terdapat dakwaan wanita dan kanak-kanak perempuan dibawa masuk untuk dikahwinkan sesama komuniti Rohingya yang berada di Malaysia.
“Fakta yang dimaklumkan kepada saya ialah Rohingya yang sudah menetap di sini akan membayar ejen di Myanmar antara RM15,000 hingga RM25,000 untuk membawa masuk ahli keluarga mereka ke Malaysia. Yang wanita dan kanak-kanak pula dikenakan bayaran antara RM30,000 hingga RM40,000 seorang.
“Sumber pendapatan? Pasar-pasar borong, kedai-kedai makanan, gengster, tak perlu bayar cukai, derma orang ramai kepada ‘NGO’ mereka. Hutang pun boleh. Bayar nanti dekat ahli keluarga yang dulukan duit,” tulisnya dalam hantaran di Facebook.
Nurul Hafidzah berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, kegiatan penyeludupan migran melalui laluan laut masih berlaku dan melibatkan jumlah yang besar.
Menurutnya, terdapat sehingga tiga bot boleh memasuki perairan negara dalam tempoh seminggu dengan setiap satu membawa lebih 400 penumpang.
“Heran tak, macam mana laluan-laluan tegak ada penguat kuasa? Ada anggota? Lolos. Saya juga dimaklumkan seorang nak lepas perlu bayar ufti beribu-ribu seorang kepada orang-orang tertentu.
“Nak cukupkan syarat, sesetengah tangkap, sesetengah lagi jual balik dekat ejen,” katanya.
Beliau turut berkata terdapat sebahagian besar Rohingya yang memasuki Malaysia tidak bercadang untuk pulang ke negara asal, sebaliknya mahu menetap secara kekal bersama keluarga mereka.
“Jadi apa yang bahayanya? Mana-mana pendatang asing dari mana-mana negara akan pulang ke negara asal walaupun berpuluh tahun mereka di sini.
“Rohingya, tak akan balik. Dia memang nak beranak pinak, tuntut tanah, tuntut sekolah, tuntut itu ini, tak lama lagi tuntut hak politik pulak. Keluar depoh, jadi sah di negara ini.
Negara ni kecik je dgn penduduk berapa juta sahaja. Rasa-rasanya boleh tercapai tak impian mereka ni?,” katanya.
Nurul Hafidzah berkata, pengalaman mengendalikan kes-kes berkaitan turut membuka matanya terhadap isu penyeludupan manusia yang menurutnya lebih kompleks daripada sekadar sentimen kemanusiaan atau agama.
Beliau berkata pernah mewakili beberapa anggota polis, penjawat awam dan orang awam yang terlibat dalam operasi membanteras penyeludupan Rohingya ke Malaysia, namun akhirnya berdepan pertuduhan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Saya telah mewakili beberapa anggota polis, penjawat awam dan orang awam yang sangat berdedikasi sehingga menumpaskan aktiviti penyeludupan Rohingya ke Malaysia melalui sempadan laut di utara Malaysia.
“Tetapi operasi besar-besaran mereka didakwa disabotaj dan akhirnya mereka pula yang dipertuduhkan di bawah SOSMA dan ATIPSOM. Kononnya mereka yang merancang penyeludupan itu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berpendapat masyarakat perlu melihat isu Rohingya daripada pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan negara, penguatkuasaan undang-undang dan kesan jangka panjang terhadap negara.
Menurutnya, sentimen agama sering digunakan untuk meraih simpati masyarakat tanpa mengambil kira implikasi kemasukan migran secara tidak terkawal.
“Sentimen agama sering dimainkan tanpa memahami implikasi dan kesan kemasukan tanpa kawalan. Agama semata-mata tidak menggambarkan sikap seseorang. Kita perlu menilai sesuatu isu berdasarkan fakta dan realiti di lapangan,” katanya.
Bagaimanapun, Nurul Hafidzah mengakui pandangannya mungkin tidak dipersetujui semua pihak, namun berpendapat masyarakat perlu meneliti isu tersebut secara lebih terbuka.
“Saya dulu pun menderma kepada pelbagai pihak termasuk surau dan sekolah. Namun maklumat serta pengalaman yang saya peroleh sepanjang mengendalikan kes-kes ini membuka mata saya mengenai apa yang berlaku di sebalik tabir.
“Bukan semua maklumat sampai kepada masyarakat. Sebab itu saya merasakan perkara ini perlu dibincangkan secara terbuka,” katanya.- KOSMO! ONLINE














