fbpx
Gambar Jaslinda bersama ahli keluarganya setelah dibenarkan keluar dari Hospital Tapah, semalam.

‘Seronok dengar celoteh Jaslinda’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Keluarga pendaki, Jaslinda Saludin, 49, melahirkan rasa syukur kerana dapat berkumpul semula selepas dua minggu berpisah setelah wanita itu hilang ketika menyertai pendakian di Gunung Batu Putih, Tapah, Perak pada hujung bulan lalu.

Kakaknya yang dikenali sebagai Min_jd memuat naik dua keping gambar memaparkan Jaslinda bertemu kedua-dua ibu bapanya serta adik-beradik menerusi hantaran dalam aplikasi Threads.

Katanya, mereka sekeluarga seronok mendengar celoteh anak bongsu tersebut kerana perkara itu yang paling dirindui sepanjang kehilangan Jaslinda.

“Alhamdulillah…Syukur. Kami menunggu Jaslinda dan berkumpul di rumah mak ayah. Mak ayah setia menanti sejak kehilangannya. Seronok, macam biasa kita dengar celoteh si bongsu.

“Along dan kak lang layankan saja sebab celoteh Jaslinda yang buat kami rindu sangat. Berehatlah sepuas-puasnya adindaku. Semoga cepat sembuh, tenang-tenang saja dulu,” katanya.

Wanita itu turut menitipkan kata-kata semangat buat Jaslinda dan berdoa untuk setiap tindakan yang dilakukan ibu dua anak tersebut.

“Kami akan tetap menyokong dan sentiasa berdoa sebab hanya kami yang kenal siapa Jaslinda,” katanya dengan meletakkan tanda pagar #alhamdulillah.

Jaslinda dibenarkan keluar dari Hospital Tapah kira-kira pukul 1.50 tengah hari semalam selepas empat hari menerima rawatan selepas dijumpai komuniti Orang Asli pada petang Sabtu lalu.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Jaslinda hilang ketika menyertai pendakian di Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lalu.

Kehilangan Jaslinda selama dua minggu itu bukan sahaja menggemparkan Malaysia, malah dianggap luar biasa apabila dia ditemui dalam keadaan selamat di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN