NILAI – Pasukan bomba dan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) menjalankan operasi pembersihan selepas berlaku tumpahan bahan kimia dipercayai racun serangga di Jalan Utama berhadapan My VEX Sdn Bhd, di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.35 petang sebelum jentera bersama anggota digerakkan ke lokasi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan 1 (PBK I) Mohd Effendi Rahmat berkata, setibanya di lokasi, pihaknya mendapati terdapat tumpahan bahan kimia di atas permukaan jalan yang dipercayai racun serangga.
Menurutnya, pemeriksaan awal menggunakan kertas pH merekodkan bacaan pH 5, manakala alat pengesan gas menunjukkan bacaan 21.1 peratus oksigen (O₂) dan 0.2 bahagian per juta (ppm) hidrogen sulfida (H₂S).
“Semua bacaan yang diperoleh berada dalam paras selamat dan tiada ancaman kepada orang awam dikesan.
“Pasukan Hazmat kemudian melaksanakan kerja pengumpulan bahan yang tertumpah sebelum operasi pembersihan jalan dilakukan menggunakan aliran salur bantu mula,” katanya.
Beliau berkata, operasi yang turut dibantu BBP Seremban 2 berjaya dikawal pada pukul 5.04 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 6 petang.
” Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu, “katanya.-KOSMO! ONLINE.














