PEMAIN beregu lelaki badminton negara, Tee Kai Wun menyifatkan dirinya sebagai seorang pemain profesional yang sentiasa bersedia untuk digandingkan dengan mana-mana pemain demi kepentingan skuad kebangsaan dan misi memburu kejayaan di pentas antarabangsa.
Minggu lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil langkah drastik memisahkan gandingan Kai Wun bersama Man Wei Chong bagi memberi laluan kepada percubaan gandingan baharu bersama juara dunia 2022, Aaron Chia.
Langkah drastik itu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi barisan kejurulatihan dalam usaha memperkasakan jentera beregu lelaki negara bagi memburu misi pingat di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
“Sebagai seorang pemain, pada bila-bila masa pun kita perlu bersedia. Tidak kira berpasangan dengan sesiapa pun, kita harus sentiasa sedia untuk memberikan yang terbaik di dalam gelanggang,” tegasnya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Anak jati Melaka itu mengakui berita mengenai gandingan baharunya bersama Aaron hanya dimaklumkan kira-kira dua minggu lalu, sekali gus memberikan kejutan buat semua pihak termasuk dirinya sendiri.
Biarpun terkejut, Kai Wun tidak menafikan wujud rasa berat hati untuk ‘berpisah’ dengan Wei Chong memandangkan keakraban yang sudah lama terjalin antara mereka berdua sebagai satu pasukan.
“Saya rasa sebab semua sedia maklum saya dengan Wei Chong pun sudah berapa tahun bersama. Namun, jika jurulatih mahu kita cuba sesuatu yang lebih baik untuk Malaysia atau untuk semua orang, kita harus cuba dulu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kai Wun menyifatkan peluang beraksi bersama pemain senior berpengalaman
seperti Aaron adalah satu ‘bonus’ besar untuknya mematangkan lagi corak permainan di pentas antarabangsa yang lebih kompetitif.














