ALOR SETAR – Kedudukan dua wakil rakyat Bersatu sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah kekal selagi mereka terus memberi sokongan kepada kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, dua Exco itu iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Datuk Halimaton Shaadiah Saad dan ADUN Kubang Rotan, Datuk Mohd. Salleh Saidin terus menjalankan tugas seperti biasa.
“Buat masa ini mereka kekal sebagai Exco, tiada perubahan selagi mereka menyokong kerajaan negeri. Pentadbiran negeri berjalan seperti biasa bersama barisan Exco sedia ada,” katanya di sini hari ini.
Halimaton memegang portfolio Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Perpaduan, manakala Mohd. Salleh menerajui portfolio Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan.
Sebelum ini, Bersatu Kedah mempunyai tiga Exco termasuk ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab. Ghani yang memegang portfolio Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, namun beliau dipecat daripada parti itu bulan lalu.
Menurut Sanusi, wakil Bersatu yang memegang pelbagai jawatan dalam pentadbiran negeri termasuk ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan anggota Majlis Ketua Kampung (MKK) turut dibenarkan meneruskan tanggungjawab masing-masing sehingga sebarang keputusan baharu dibuat.
Terdahulu, Pas mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu sekali gus mencetuskan perkembangan baharu dalam landskap politik negara menjelang Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum Ke-16.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat semalam selepas mengambil kira keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berhubung kedudukan kerjasama politik antara kedua-dua parti. – KOSMO! ONLINE














