fbpx
KEADAAN sebuah flat yang disyaki didirikan secara haram di Hulu Langat. (Gambar kecil: Johan)

Flat haram Hulu Langat: Pemilik benarkan penempatan – ADUN Dusun Tua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Flat haram yang tular didakwa menjadi penempatan warga asing di Sungai Tekali, Hulu Langat dipercayai berpunca daripada tindakan pihak pemilik tanah yang membenarkan penggunaan tanah bagi tujuan tersebut dan pembinaan struktur tanpa kelulusan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd. Aziz berkata, penempatan itu turut menyediakan kemudahan kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik sekali gus bukan sahaja melanggar peraturan ditetapkan, malah menyukarkan usaha agensi kerajaan untuk menangani isu itu secara berkesan.

“Perkara ini bukanlah isu baharu dan telah saya bangkitkan dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Hulu Langat sejak tahun lalu untuk perhatian serta tindakan agensi-agensi berkaitan.

“Untuk makluman, pelbagai tindakan penguatkuasaan, pemantauan dan operasi telah dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.

Beliau berkata, memandangkan sebahagian tindakan dan maklumat berkaitan melibatkan operasi penguatkuasaan tidak boleh didedahkan secara terbuka, banyak perkara serta bukti tidak dapat dikongsikan kepada umum pada ketika ini.

“Namun, berdasarkan maklumat dan tindakan yang telah dilaksanakan oleh agensi berkaitan, jelas bahawa peranan pemilik tanah merupakan antara faktor utama menyumbang kepada berlarutannya isu ini.

“Perkara ini akan saya bangkitkan semula dalam Mesyuarat Tindakan Daerah akan datang. Pada pandangan saya, tindakan tidak boleh hanya tertumpu kepada penghuni semata-mata, sebaliknya perlu memberi fokus kepada pihak yang membenarkan dan memudahkan aktiviti ini berlaku di atas tanah milik mereka,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak terlibat perlu dipertanggungjawabkan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa agar penyelesaian yang diambil benar-benar menangani punca sebenar masalah.

Johan turut berterima kasih kepada pelakon dan penyampai radio, Azad Jasmin yang menularkan video berkenaan bagi membawa isu tersebut kepada perhatian umum.

Hari ini Kosmo! melaporkan, satu perumahan flat empat tingkat didakwa dibina warga asing secara haram di Hulu Langat mengundang kemarahan rakyat Malaysia.

Dalam masa sama, tindakan penguatkuasaan menerusi Ops Kutip telah dilaksanakan dengan penangkapan seramai 42 warga asing di sebuah struktur bangunan flat yang didirikan secara haram di Kampung Kenangan, Sungai Makau, Hulu Langat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof dilaporkan berkata, tangkapan warga asing di lokasi tersebut telah dibuat pada 28 Februari tahun lalu hasil tindakan bersepadu Ops Kutip bersama Jabatan Imigresen Selangor.

Beliau dilaporkan berkata, masih terdapat penghuni di flat terbabit melibatkan dua keluarga iaitu pemilik dan penyewa warga tempatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN