KUALA NERUS – Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengeluarkan notis arahan penambahbaikan dan pembetulan terhadap sebuah hotel di Pulau Perhentian, Besut yang didakwa membuang air disyaki sisa domestik secara langsung ke dalam laut.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS, Azuri Azizah Saedon berkata, notis tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 37 akta sama.
“Kita telah mengambil langkah penguatkuasaan awal bagi memastikan sistem rawatan kumbahan hotel terbabit beroperasi dengan baik dan mematuhi syarat ditetapkan. Sampel air juga telah dibawa untuk dianalisa di Jabatan Kimia sebelum sebarang tindakan lanjut diambil,” katanya di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini hari ini.
Kosmo! 3 Jun lalu melaporkan kerajaan negeri Terengganu mengarahkan JAS menyiasat dakwaan sebuah hotel di Pulau Perhentian membuang air dipercayai sisa domestik secara langsung ke dalam laut selepas klip video mengenai tular di media sosial.
Azuri Azizah berkata, pemeriksaan lapangan juga telah dijalankan termasuk ke atas loji rawatan kumbahan hotel terbabit.
Beliau berkata, ia bertujuan menilai tahap keberkesanan sistem kumbahan berkenaan serta pematuhannya terhadap standard pelepasan ditetapkan.
“Kita masih menungggu laporan Jabatan Kimia. Tindakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan diambil sekiranya terbukti berlaku perlanggaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE














