PETALING JAYA – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bakal meraikan ulang tahun ke-20 status bandar raya menerusi penganjuran festival khas selama enam hari bermula 16 hingga 21 Jun ini yang sarat dengan pelbagai program komuniti, pembelajaran, teknologi dan kelestarian.
Menariknya, malam kemuncak festival terbabit akan diserikan dengan persembahan daripada artis ternama tanah air termasuklah Ernie Zakri, Zaki Yamani dan Thalita.
Persembahan akan berlangsung pada 20 Jun 2026 bertempat di Laman MBPJ bermula 8 malam hingga 11 malam.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata, sambutan tersebut bukan sekadar mengimbau sejarah pembangunan Petaling Jaya sejak diisytiharkan sebagai bandar raya pada 20 Jun 2006, malah menjadi platform memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga kota.
Menurut beliau, sepanjang dua dekad lalu, Petaling Jaya berkembang sebagai antara bandar raya utama negara hasil kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, komuniti, sektor swasta serta pelbagai pemegang taruh.
“MBPJ akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan, memperkasakan komuniti serta memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi memastikan Petaling Jaya kekal sebagai bandar raya pilihan untuk didiami, bekerja, belajar dan beriadah,” katanya.
Katanya, sebanyak 11 program utama dan enam perkhidmatan percuma disediakan sepanjang sambutan berkenaan.
Antara program yang bakal menjadi tumpuan ialah PJ Learning City Festival 2026 yang mengetengahkan pelbagai aktiviti berasaskan pembelajaran sepanjang hayat termasuk forum pendidikan, literasi digital, pembangunan kemahiran, keselamatan siber serta kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, PJ Digital 2026 turut menawarkan pameran teknologi dan inovasi ICT, pengalaman realiti maya (VR), aktiviti interaktif serta pertandingan e-sukan bagi memperkukuh literasi digital masyarakat.
Dalam aspek kelestarian, pelbagai program seperti Hari Terbuka PJ Eco Recycling Plaza, Trash to Cash, pengumpulan sisa elektrik dan elektronik (e-Waste), kutipan minyak masak terpakai serta bengkel kitar semula akan dilaksanakan.
Sambutan itu turut dimeriahkan dengan festival makanan, persembahan seni budaya, aktiviti keluarga, program kesihatan, pertandingan LEGO Robotics dan pelbagai aktiviti untuk warga emas.
Kemuncak sambutan dijadual berlangsung pada 20 Jun di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin menerusi majlis perasmian yang bakal menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk institusi pendidikan, sektor kesihatan, industri perhotelan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi strategik.
Sebagai penghargaan kepada warga Petaling Jaya, MBPJ turut menawarkan beberapa inisiatif khas termasuk parkir percuma, keahlian percuma Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya serta agihan anak pokok, baja kompos organik dan abate kepada orang ramai.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman sesawang dan media sosial rasmi MBPJ. – KOSMO! ONLINE














