GEORGE TOWN – Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan (MOT) masih menunggu keputusan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonom (MTEN) berhubung cadangan menurunkan kadar cukai jalan bagi kenderaan yang menggunakan diesel.
Timbalan Menterinya, Datuk Hasbi Habibollah berkata, sebarang keputusan mengenai perkara tersebut adalah tertakluk dalam mesyuarat yang diadakan pada setiap Selasa itu.
“Masih lagi dalam perbincangan. Kita kena tunggu mesyuarat MTEN dan sebagainya yang diadakan setiap hari Selasa.
“Semua perkara ini kita tidak boleh nak (umum) dahulu. Kita tunggu keputusan MTEN dahulu,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan berhubung cadangan menurunkan kadar cukai jalan bagi kenderaan diesel.
April lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata keputusan berhubung cadangan menurunkan kadar cukai jalan bagi kenderaan yang menggunakan diesel akan diumumkan dalam masa terdekat.
Beliau memberitahu, kementerian kini dalam peringkat pelaksanaan kajian mekanisme yang bersesuaian termasuk penelitian terhadap sebarang implikasi kepada hasil kerajaan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Pengangkutan meneliti langkah menurunkan kadar cukai jalan kenderaan diesel bagi mengurangkan beban pengguna susulan kenaikan harga bahan api akibat krisis bekalan global. – KOSMO! ONLINE














