MELAKA – Seorang wanita yang suaminya sedang menjalani hukuman penjara dicekup berkhalwat bersama seorang lelaki bujang di sebuah rumah di Batu Berendam di sini, malam Jumaat lalu.
Dalam operasi kira-kira pukul 12.25 tengah malam itu, penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bertindak melakukan pemeriksaan selepas menerima aduan orang awam mengenai kegiatan mencurigakan di rumah berkenaan.
Pengarah JAIM, Datuk Md. Azhan Samat berkata, pemeriksaan awal menemukan seorang wanita berusia 36 tahun yang bekerja sebagai kerani berada di dalam rumah tersebut.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut kemudian menemukan seorang lelaki berusia 36 tahun yang bekerja di sebuah kafe sedang bersembunyi di dalam almari di tingkat atas rumah berkenaan bagi mengelak dikesan penguat kuasa.
“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit masih bujang, manakala wanita berkenaan sudah berkahwin, namun suaminya sedang menjalani hukuman penjara.
“Kedua-duanya juga gagal mengemukakan sebarang dokumen yang membuktikan hubungan mahram atau perkahwinan ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Beliau berkata, pasangan itu kemudian dibawa ke Pejabat JAIM bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE














