SUNGAI BULOH – Seramai 27 pelajar sebuah pusat tahfiz dan penghuni pondok warga emas di Kundang, Rawang di sini dipercayai mengalami keracunan makanan selepas menjamah makanan yang diperoleh daripada sumber luar pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nori berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengalami gejala muntah-muntah dan cirit-birit sebelum mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran serta Hospital Sungai Buloh.
Menurutnya, kesemua mangsa yang berusia 13 hingga 18 tahun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Pejabat Kesihatan Daerah Gombak telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian selain mengambil keterangan dan sampel makanan untuk dianalisis bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Kementerian Kesihatan turut membuka kertas siasatan berkaitan kes ini di bawah Akta Makanan 1983 serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sekiranya dibuktikan berlaku kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Makanan 1983, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohammad Hafiz Sulaiman di talian 016-4507492 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Semua peniaga dan individu yang terlibat dalam penyediaan serta pengendalian makanan perlu sentiasa mematuhi aspek kebersihan, keselamatan dan garis panduan kesihatan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE














