SUNGAI PETANI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak menangguhkan pembubaran Parlimen hanya kerana mahu kekal berkuasa.
Beliau berkata, perkara itu adalah bagi memastikan tumpuan sepenuhnya dapat diberikan kepada pembangunan ekonomi negara.
Selain itu, katanya, ketidakstabilan politik serta pilihan raya yang diadakan terlalu kerap boleh menjejaskan keyakinan pelabur, sekali gus mengganggu usaha kerajaan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke negara ini.
“Saya mahu fokus selesaikan masalah rakyat dahulu, politik mesti stabil. Saya tidak mahu politik hanya digunakan untuk propaganda atau menjaga kedudukan.
“Saya bukan tangguh pilihan raya kerana mahu kekal berkuasa, tetapi kerana mahu memastikan ekonomi negara terus berkembang dan rakyat mendapat manfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Pertemuan Mesra bersama Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) negeri Kedah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, di sini hari ini.
Menurut Anwar, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memperkasakan ekonomi negara, menarik lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat tanpa mengetepikan keperluan asas di peringkat akar umbi.
“Pengurusan ekonomi sangat penting dan politik perlu stabil. Jika setiap bulan diadakan pilihan raya dan keadaan politik tidak menentu, siapa yang mahu datang melabur?
“Cuba lihat negara jiran dan kekuatan mata wang mereka. Hari ini ramai yang pergi ke Indonesia dan negara lain serta dapat melihat nilai ringgit yang semakin kukuh berbanding sebelum ini,” ujarnya.
Tambahnya, Malaysia berupaya menghadapi pelbagai cabaran termasuk menstabilkan nilai mata wang, memacu pertumbuhan ekonomi dan menarik pelaburan asing sekiranya kestabilan politik terus dipelihara. – KOSMO! ONLINE














