fbpx
Anwar ketika menyantuni masyarakat di Merbok, Kedah hari ini.

PM seru penjawat awam, JPKKP perkukuh integriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan penjawat awam dan pimpinan akar umbi supaya terus memegang amanah serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan yang cekap dan berkesan.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sesi Temu Mesra bersama Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Kedah di Merbok hari ini.

Menurut beliau, ketua-ketua jabatan dan JPKKP memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat, sekali gus menjadi saluran utama dalam mengenal pasti serta menyelesaikan isu yang dihadapi rakyat.

“Hubungan dan kerjasama erat antara agensi kerajaan serta pimpinan akar umbi perlu terus diperkukuhkan agar setiap permasalahan rakyat dapat dikenal pasti dan ditangani dengan segera serta berkesan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Dalam pertemuan itu, Anwar turut menjelaskan beberapa isu semasa termasuk perkembangan ekonomi negara yang menurutnya menunjukkan petanda positif hasil pelaksanaan dasar serta reformasi yang sedang digerakkan Kerajaan Madani.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pencapaian yang diraih ketika ini tidak seharusnya menyebabkan semua pihak berasa selesa atau leka.

“Pencapaian yang ada tidak harus membuatkan kita alpa. Sebaliknya, seluruh jentera kerajaan perlu melipatgandakan usaha, memperkukuh budaya kerja yang bertanggungjawab serta memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai oleh seluruh rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menyeru semua pihak dalam jentera kerajaan untuk terus komited dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN