SKUAD bawah 19 (B-19) tahun negara tekad untuk memburu status selaku juara Kumpulan B pada dalam misi layak ke separuh akhir Kejuaraan ASEAN B-19 2026 menentang Thailand di Stadium Madya 1, di Medan, Indonesia, malam ini.
Pengendali skuad B-19 negara, Nafuzi Zain mengakui barisan pemain tidak mempunyai pilihan selain memburu kemenangan sekali gus tidak perlu bergantung kepada keputusan pasukan lain dalam saingan peringkat kumpulan A dan C.
“Kita tahu Thailand adalah pasukan pilihan di mana-mana kejohanan sama ada di peringkat senior mahupun bawah umur.
“Untuk Malaysia, enam mata ini memberi peluang dan kelebihan untuk kita mara, tetapi kita tahu akan bertemu Thailand pada perlawanan terakhir nanti. Ia bukan perlawanan yang boleh dianggap mudah.
“Itu pun belum menjamin kita layak ke separuh akhir kerana juara kumpulan layak secara automatik, manakala naib juara pula bergantung kepada keputusan pasukan lain,” katanya.
Sebagai rekod, Malaysia dan Thailand ketika ini berkongsi enam mata selepas melakar dua kemenangan ke atas Brunei dan Singapura, sekali gus menjadikan pertembungan kali ini sebagai penentu kepada gelaran juara kumpulan.
Mengulas lanjut, Nafuzi mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki oleh barisan pemain remaja Harimau Malaya walaupun berjaya melunaskan misi untuk meraih keputusan positif sebelum ini.
“Apa yang penting untuk perlawanan menentang Thailand nanti, kita perlu menang untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.
“Walaupun menang dalam dua aksi terdahulu, masih banyak kelemahan yang ada pada pemain muda saya. Jadi kita ada masa untuk memperbaiki dan meningkatkan kelemahan itu serta menyediakan pelan yang sesuai untuk bertemu Thailand,” katanya.
Sekiranya gagal bergelar juara kumpulan, Malaysia yang pernah bergelar juara edisi 2018 dan 2022 perlu mengharapkan status selaku naib juara terbaik untuk berada dalam peringkat separuh akhir nanti.














