PETALING JAYA – Hasrat seorang lelaki untuk berlepas ke luar negara bertukar menjadi detik cemas selepas pasport miliknya dikesan rosak akibat diconteng oleh anak kecilnya.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads oleh @Empatdua.ebonylane, dia memuat naik gambar pasportnya yang dipenuhi dengan lakaran lukisan menggunakan pen biru.
Lebih malang, kejadian tersebut disedarinya ketika dia sedang sibuk mengemas barang untuk mengejar penerbangan pada malam hari sama.
“Rasa nak menangis. Flight (penerbangan) malam ini, tengah packing (kemas barang), si kecil sibuk menconteng pasport. Tak perasan bila dia capai pasport ini,” katanya.
Bagaimanapun, perjalanannya tidak dapat diteruskan pada hari tersebut selepas pihak Jabatan Imigresen (JIM) mengesahkan dokumen perjalanan itu dikategorikan sebagai pasport rosak (damaged passport).
Tambahnya, dia terpaksa menukar tarikh penerbangan ke hari Isnin memandangkan pegawai penyiasat imigresen tidak bertugas pada hari Sabtu.
“Pegawai imigresen cakap dia boleh tolong hari Isnin nanti. Memang hati dah terima, jelas tak dapat terbang malam ini. Dah tukar tiket flight, kos tambahan RM620.
“Kesimpulan cerita, berdamailah dengan takdir. Hati lebih tenang bila kita menerima. Sekarang dah boleh senyum sikit,” ujarnya lagi.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut meluahkan rasa simpati dan memuji sikap tenang yang ditunjukkan oleh lelaki itu dalam berdepan dengan masalah tersebut.
“Kalau apa yang kita rancang itu tak menjadi, mesti ada sesuatu yang lebih baik untuk kita nanti,” kata @Shahidah15.
“Bagus encik memang tenang je hadapi masalah ni. Semuanya berlaku bersebab, kita saja yang tak tahu kenapa,” tambah @Nurazlaumar. – KOSMO! ONLINE














