KUALA LUMPUR – Kelahiran cahaya mata pertama, Anggun Sumayyah pada Januari lalu mencetuskan inspirasi buat aktor Qi Razali untuk menghasilkan sebuah lagu istimewa yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Menurut Qi atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali, 49, lagu istimewa tersebut berjudul Yang Pertama merupakan hasil nukilannya ketika menjaga Anggun.
“Dia suka dengan bunyi-bunyian dan akan berhenti menangis kalau saya mainkan muzik. Lagu ini saya buat untuknya tetapi belum siap sepenuhnya lagi.
“Yang Pertama terhasil ketika saya menjaga Anggun. Saya rakam setiap momen sejak dia lahir dan semua itu diabadikan dalam lagu tersebut, sangat istimewa,” katanya ketika ditemui pada sesi media Kisah Bawah Tanah di REXKL baru-baru ini.
Lebih manis, Qi berkata bukan hanya nyanyian tetapi suara tangisan Anggun juga akan diselitkan dalam Yang Pertama.
“Saya juga masukkan suara tangisan Anggun dalam lagu itu. Isteri sebak ketika mendengar laggu tersebut walaupun belum siap lagi.
“Insya-Allah, lagu ini akan dilancarkan mungkin pada Ogos nanti sempena hari ulang tahun kelahiran saya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia mengakui mendengar muzik turut menjadi salah satu rutin harian bersama Anggun.
“Saya pasang alat muzik piring hitam dan menari dengan dia. Dia akan berhenti menangis kalau dengar muzik
“Saya juga selalu bermain gitar untuk dia. Jadi daripada situ juga lahirnya idea untuk menghasilkan lagu khas ini,” ujarnya.
Terdahulu, Qi mendirikan rumah tangga dengan Wardah Hayati pada 25 Mei 2025.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata pertama pada pada 23 Januari lalu yang kini sudah berusia lima bulan. – KOSMO! ONLINE














