KUALA LUMPUR – Skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara terus cemerlang apabila memperoleh kemenangan selesa 4-0 k atas Brunei pada aksi kedua Kumpulan B Kejuaraan B-19 ASEAN di Stadium Teladan, hari ini.
Ia menyaksikan skuad kendalian Nafuzi Zain terus garang selepas membuka saingan dengan kemenangan 3-0 ke atas Singapura, Selasa lalu.
Jurang kualiti menyaksikan Malaysia berjaya menguasai permainan dan mampu mencipta beberapa peluang untuk mendapatkan jaringan.
Usaha berterusan skuad negara membuahkan hasil pada minit ke-22 hasil gol sendiri pemain lawan, Mahmud Khalish Zaifulizham ketika usahanya menyekat percubaan Ahmad Lutfil Hadi Sahabudin.
Malaysia menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan dua gol hasil jaringan Muhammad Arsyad Mohd Shamsul Aswadi pada masa kecederaan.
Bersambung babak kedua Malaysia terus mendominasi permainan namun sekali lagi terpaksa menanti hingga masa kecederaan untuk menambah dua lagi gol.
Enam minit selepas aksi berada di masa tambahan, Muhammad Ierfan Hafizan meledak gol ketiga diikuti satu lagi daripada Muhamad Irfan Aswad Roslan. – KOSMO! ONLINE














