PETALING JAYA – Kadar caj pengurusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) yang dinaikkan bermula 15 Mei lalu dibuat selepas hampir 14 tahun tidak dipinda.
Sumber berkata, TPIRS yang berkonsepkan ‘kubur dalam taman’ mula dirasmikan pada 20 Julai 2012 di Tanah Perkuburan Islam KL-Karak 1, Batu Muda sebelum diperluaskan ke tujuh lokasi di sekitar Kuala Lumpur di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
“Sepanjang hampir 14 tahun pengoperasian, kadar caj pengurusan pengebumian tidak pernah dipinda atau disemak semula walaupun kos bahan dan peralatan seperti papan lahad, papan kepok, peralatan penggalian serta tenaga kerja meningkat.
“Semakan ini dibuat bagi memastikan tahap kesiapsiagaan operasi, kecekapan penyampaian perkhidmatan dan kebajikan petugas TPIRS sentiasa terpelihara demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Ia juga susulan penilaian yang dibuat berdasarkan resolusi Konvensyen Tanah Perkuburan Islam Wilayah Persekutuan 2024 serta sesi libat urus dan mesyuarat dalaman bagi memperkukuh sistem pentadbiran dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Jelas beliau, peningkatan kos pengoperasian turut melibatkan penyediaan lubang asas dan lahad, penyelenggaraan tambak serta perataan tanah, selain penyediaan kepok kayu sementara dan tanda nama si mati.
“Kerja penggalian kubur di TPIRS masih dibuat secara manual dan memerlukan kemahiran serta komitmen tinggi, justeru kebajikan dan insentif petugas perlu diberi perhatian bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan berkualiti,” katanya.
Mengulas persepsi bahawa kos kematian kini semakin tinggi, ujar beliau, kadar baharu itu masih munasabah berbanding tanah perkuburan Islam lain seperti di Alam Damai yang mengenakan caj sekitar RM600 dan Taman Ibu Kota sekitar RM1,450.
Katanya, kadar caj baharu tersebut hanya melibatkan TPIRS Bukit Kiara 1 dan 2, TPIRS KL-Karak 2 Taman Selaseh serta TPIRS Kepong yang berada di bawah seliaan penuh JAWI.
Caj terkini bagi warganegara anak kariah kategori dewasa dinaikkan daripada RM300 kepada RM800, manakala kategori luar kariah meningkat daripada RM500 kepada RM1,600.














