PUTRAJAYA – Hubungan kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan masih erat dan tidak terjejas, meski pun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan akan datang.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pada hari ini juga berjalan lancar seperti biasa.
“Tidak ada kesan terhadap Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan mesyuarat Jemaah Menteri juga berjalan dengan lancar seperti biasa dalam suasana mahabbah dan rasa hormat.
“Ia seperti biasa, tidak ada kesan kepada hubungan yang erat di kalangan pimpinan di peringkat Persekutuan,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Menteri Komunikasi itu berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan ketika ini masih erat atau sebaliknya, susulan keputusan BN dan PH yang mahu bergerak solo pada dua PRN akan datang.
Sementara itu, ditanya mengenai kewajaran untuk melaksanakan PRN ketika kerajaan sedang mengambil langkah berjimat-cermat ekoran krisis tenaga global yang melanda, Fahmi menjelaskan bahawa kedua-dua negeri berkenaan telah pun mendapat perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.
“Ya, memang ada beberapa pihak termasuk di media sosial yang mempersoal kewajaran untuk mengadakan PRN pada waktu ini, terutama ketika Malaysia berdepan dengan cabaran ekonomi akibat daripada konflik Asia Barat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














